11 July 2009

ENAM BIDANG KEBERHASILAN UTAMA (KRA) ADALAH KOMPONAN BAGI MENCAPAI MATLAMAT PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) NASIONAL

Majlis "100 Hari Najib Bersama Rakyat" menyaksikan sambutan rakyat pelbagai lapisan masyarakat terhadap pendekatan kepimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan 11 berita gembira untuk rakyat sempena 100 hari pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Antara kelainan majlis hari ini ialah tetamu yang hadir duduk bebas tanpa mengira protokol termasuk anggota Kabinet duduk bersama rakyat jelata. -- foto BERNAMA

Cegah jenayah, perangi rasuah antara 6 KPI Nasional.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional yang diumumkan merangkumi enam bidang keberhasilan utama (KRA) termasuk usaha mencegah jenayah dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuklah usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah.

Dua bidang lain ialah memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan menambah baik pengangkutan awam sebagai jangka masa sederhana.

KPI adalah antara pendekatan pembaharuan pentadbiran diperkenalkan oleh YAB Dato' Seri Najib apabila mengumumkan pembentukan barisan Kabinetnya.

Hujung minggu lalu Kabinet telah mengadakan sesi retreat selama dua hari bagi menghalusi KPI peringkat menteri.

KPI diwujudkan untuk memudahkan bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan.

KPI diwujudkan bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

KPI diwujudkan bagi menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi anggota pentadbiran (penggubal dasar) dan anggota perkhidmatan awam (pelaksana dasar).

KPI diwujudkan adalah bertujuan untuk mengukuhkan prinsip kebertanggungjawaban.

Sambil menyifatkan 100 hari ini sebagai berlalu terlalu pantas, Perdana Menteri turut melaporkan beberapa kemajuan perkara yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan sejak hari pertama yang merangkumi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi, hak asasi manusia dan kebebasan media serta peningkatan kecekapan penjawat awam dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau turut memberitahu mengenai lawatan "turun padang" dan "tinjauan mesra rakyat" bermula hari kedua menjadi Perdana Menteri, dengan lawatan ke Petaling Street, kemudiannya Vista Angkasa, kawasan Kerinchi, Brickfields dan Puduraya serta Sabah dan Sarawak.

"Saya turun padang melihat rintihan rakyat... juga merasai gundah gulana mereka dan meresapi denyutan nadi rakyat yang dipimpin. Sebab itu saya pilih walkabout.Dalam kamus Dewan Bahasa tiada terjemahan untuk ini. Jadi saya namakan tinjauan mesra," katanya.

Katanya dalam lawatan ke Petaling Street, ada permohonan agar bumbung utama diganti dan juga ditambah bumbung kepada gerai individu, dan beliau berkata Menteri Wilayah Persekutuan akan mengumumkan perincian mengenainya Isnin ini.

Najib berkata hasil tinjauan mesra ke pangsapuri Vista Angkasa, kini 65 peratus kerja pembersihan dinding dan cat asas selesai, 95 peratus kerja mengecat bangunan parkir selesai dan 100 peratus kerja penyambungan kabel telefon di blok 2, 5 dan 8 selesai, manakala kerja membaiki lif akan dimulakan dalam waktu terdekat.

Katanya dalam lawatan ke Brickfields, beliau bersetuju kawasan berkenaan dibangunkan sebagai "Little India" yang lebih terancang, yang akan dilancarkan sedikit masa lagi.

Peruntukan RM44 juta untuk Puduraya membawa hasil, di mana hari ini sudah jauh bertambah elok berbanding sebelumnya dengan pelbagai tempat dicat baru dan dipulihkan agar Puduraya menjadi lebih selesa untuk rakyat, kata Perdana Menteri.

Beliau berkata tinjauan ke kawasan pedalaman dan kawasan lain di Sabah serta Sarawak juga membolehkannya menyelami sendiri aspirasi rakyat, malahan turut meninjau UiTM dan kemudahan asrama termasuk tandas yang digunakan pelajar bagi melihat sendiri keadaan sebenar.

Di majlis itu, Najib mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada segala lapisan rakyat, barisan Kabinet, petugas sektor awam, swasta dan GLC, kerana "sentiasa berdiri teguh di sisi saya di sepanjang masa."

Di akhir majlis, beberapa kanak-kanak menyampaikan sejenis pokok yang mempunyai akar yang kuat untuk Perdana Menteri masukkan ke dalam pasu.

"Sesungguhnya langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin.

"Perjalanan kita ini ibarat sebuah sungai. Sama ada yang memimpin atau dipimpin semuanya mengalir ke arah yang sama," katanya dan mengakhiri ucapannya dengan sebuah nukilan dari lubuk hatinya bertajuk "Harapan".

"HARI ini, saya dedikasikan khusus tentang kesejahteraan dan kebajikan tuan-tuan, puan-puan serta anak-anak sekalian".

"Saya akan terus berusaha sedaya mungkin dan menyingsing kudrat untuk mencari penyelesaian-penyelesaian seraya membuat keputusan-keputusan demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan.

Dalam sebarang keputusan, kepentingan rakyat didahulukan dan saya tidak membuat sesuatu secara berwenang-wenang jauh sekali secara semberono"

"Langkah-langkah yang saya umumkan dalam tempoh 100 hari ini hanyalah langkah-langkah pemula perjalanan kita ke arah masa depan yang lebih baik, makmur dan terjamin"

"Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan serta anak-anak muda sekalian untuk bersama-sama saya melakar masa depan Malaysia yang menjanjikan peluang yang lebih baik dan adil untuk semua dengan satu harapan"

Pengumuman Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri:
1. Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch ‘n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.
2. Penyewa Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa.
3. Potongan diskaun 50% kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan.
4. Tambahan RM150 juta bagi dana TEKUN dan RM15 juta untuk program pembangunan usahawan muda kaum India.
5. Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang.
6. Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan.
7. Mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.
8. Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat.
9. Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.
10. Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September depan.
11. Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP